Seorang Mantan Perdana Menteri Harus Pandai Menjaga Legasi Dan Reputasi Yang Dicapai.

Tun Dr Mahathir Mohammad telah menerajui negara ini selama 22 tahun dan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau kita telah berdiri teguh menyokong segala tindakan beliau. Kemajuan negara merupakan agenda terpenting yang telah menyatukan kami di bawah kepimpinan Tun Mahathir atas mandat kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat. Kesetiaan kami terhadap pemimpin kita tidak pernah berbelah bahagi.

Siapa yang tidak tahu akan kemampuan Tun sekiranya ada yang berani mencabar atau melawan beliau. Sejarah lampau Tun jelas menunjukkan kerakusan beliau dalam menghalang pemimpin-pemimpin yang dianggap berpotensi selepas beliau untuk menerajui negara ini. Musa Hitam, Ghafar Baba, Ku Li, Anwar Ibrahim dan mangsa terbaru Pak Lah merupakan antara yang pernah merasa penangan Tun ketika beliau berkuasa.
Pada masa ini tindakan Tun mengeluarkan kenyataan dan nukilan yang tidak benar berkenaan DS Najib adalah amat menyedihkan kerana ia tidak menunjukkan keperibadian seorang Negarawan yang disanjungi. Tun harus redha terhadap dua kebenaran ini yang mana pertamanya Tun telah mengkhianati kami semua yang telah bersama sepanjang 22 tahun menyokong beliau sebagai Perdana Menteri. Keutuhan kami berdiri menyokong DS Najib yakni Perdana Menteri Malaysia adalah kerana kami telah dididik dengan cara yang sukar oleh Tun sendiri.
Kedua, Tun harus sedar beliau bukan lagi merupakan pemimpin berkuasa mutlak dalam menentukan nasib rakyat. Para pengundi telah menggunakan kuasa mereka dengan bijak melalui sistem pilihanraya dan tidak akan sama sekali membenarkan seorang Mantan Perdana Menteri terus mengherdik serta menjejaskan reputasi seorang Perdana Menteri yang telah dilantik secara sah oleh rakyat dan perundangannya.
Setiap agama, mahupun di kalangan ahli falsafah atau pemimpin masyarakat menyatakan seseorang yang telah mencapai kedudukan tertinggi di kalangan masyarakat haruslah pandai dan sentiasa peka dalam menjaga maruah serta reputasi yang telah dibina oleh beliau. Namun ini bukan apa yang diperlakukan oleh Tun dan apa yang lebih menyedihkan ialah cara pertuturan dan perlakuan Tun masa kini jelas menunjukkan seseorang yang telah dilukai dan tewas di medan perang.
Mujurlah bagi Tun dan penyokong tegar beliau, DS Najib merupakan seorang pemimpin yang tidak mengamalkan teori Machiavellian Politics. Jika sebaliknya kemungkinan sejarah hitam kembali berulang dan harap masih lagi segar diingatan berkenaan ‘Ops Lallang’.
Tun biarlah kebenaran dapat diketahui oleh rakyat. Adakalanya memberitahu sesuatu kebenaran seperti sedia ada amat menyakitkan namun ianya juga adalah tindakan yang amat dihormati. Bukan kerana politik namun lakukanlah ianya demi kepentingan generasi muda negara kita Malaysia. Cukuplah keaiban yang Tun telah bawa pada diri sendiri dan berhentilah memanggil seseorang terutamanya DS Najib dengan nama serta panggilan yang kurang senonoh dan langsung tidak menunjukkan pekerti seorang Negarawan.
Setiap pemimpin mempunyai hak dan kewajipan dalam melaksanakan serta memenuhi segala  janji beliau kepada rakyat.
Tun mengharapkan segalanya berlaku mengikut kehendak Tun selama-lamanya adalah tidak praktikal. Akhir kata ‘Hanya Jauhari Yang Mengenal Manikam”.
Tan Sri M Kayveas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *